Kelas
tambahan bermaksud kelas pengajaran dan pembelajaran yang biasanya diadakan
selepas sesi persekolahan. Murid-murid sekolah adalah digalakkan untuk mengikuti
kelas tambahan di sekolah. Hal ini demikan kerana kelas tambahan ini
memang membawa banyak faedah kepada murid-murid.
Antara
faedah menyertai kelas tambahan ialah dapat meningkatkan pemahaman murid-murid
terhadap pelajaran di kelas. Sebagai contohnya, murid-murid yang lemah akan
diberikan tumpuan yang lebih banyak semasa kelas tambahan diadakan. Hal ini akan membantu murid tersebut menguasai
kemahiran untuk menjawab soalan dengan cara yang betul.
Selain
itu, suasana pembelajaran semasa kelas tambahan adalah lebih bersantai. Hal ini demikian kerana kelas tambahan
biasanya diadakan dalam kelompok yang kecil sahaja. Guru dan murid-murid dapat berkomunikasi
dengan lebih mudah. Oleh itu, murid-murid akan berasa lebih selesa
untuk bertanyakan soalan kepada guru-guru tentang topik yang kurang difahami.
Di
samping itu, dengan menghadiri kelas tambahan di sekolah, murid-murid dapat
meningkatkan pencapaian dalam peperiksaan. Hal ini demikian kerana guru-guru akan
memberikan banyak latihan tubi yang boleh meningkatkan keupayaan murid untuk
menjawab soalan. Secara tidak langsung, murid-murid akan
menjadi lebih yakin untuk menjawab soalan dalam peperiksaan.
Seterusnya, dengan menyertai kelas tambahan, murid-murid akan mengisi masa
lapang dengan aktiviti yang berfaedah. Dengan itu, murid-murid tidak akan terlibat
dalam gejala negatif seperti melepak, vandalisme dan menghabiskan masa menonton
televisyen. Masa mereka tidak akan dibazirkan dengan
begitu sahaja.
Kesimpulannya, murid-murid sekolah digalakkan mengikuti kelas tambahan yang diadakan di sekolah untuk menjamin masa depan mereka yang cerah. Namun, jumlah kelas yang dihadiri oleh murid ini juga harus dikawal dari segi kualiti dan kuantiti supaya mereka tidak menghabiskan sepanjang masa dengan menghadiri kelas tambahan sahaja.