Kecemerlangan dari segi akhlak dan akademik merupakan matlamat semua murid-murid. Namun demikian, kecemerlangan tersebut tidak datang dengan sendirinya. Terdapat beberapa usaha yang perlu dilakukan untuk menjadi murid-murid cemerlang.
Antaranya, kita perlulah tekun belajar pada setiap hari untuk menjadi seorang murid yang cemerlang. Sebagai contohnya, ketika di dalam kelas, kita perlulah menumpukan sepenuh perhatian dan membuat nota ringkas tentang pengajaran yang disampaikan oleh guru. Dengan ini, kita dapat memahami dan mengingati apa yang dipelajari di dalam kelas.
Selain itu, kita juga perlu banyak membuat latihan tubi yang berbentuk soalan peperiksaan secara berulang kali. Hal ini akan membolehkan kita menjawab soalan-soalan peperiksaan dengan mudah kerana kita sudah biasa dengan pola-pola soalan tersebut. Kaedah ini juga mampu memberikan keyakinan kepada murid untuk menghadapi peperiksaan sebenar.
Seterusnya , kita hendaklah belajar secara berkumpulan dengan rakan-rakan untuk berkongsi maklumat. Hal ini demikian adalah kerana ahli kumpulan akan bertukar-tukar nota dan membolehkan kita mendapat pengetahuan yang lebih meluas. Dengan itu, kita juga tidak akan menjadi seperti katak di bawah tempurung. Sikap ini juga dapat mengelakkan sikap “bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing” dalam kalangan pelajar.
Di samping itu, kita juga boleh mengikuti kelas tambahan yang dianjurkan oleh pihak sekolah. Hal ini demikian kerana guru-guru akan memberi penekanan pada topic-topik yang sukar semasa kelas tambahan. Justeru, pemahaman kita terhadap sesuatu pelajaran yang sukar difahami akan meningkat.
Kesimpulannya, kita perlu berusaha dengan bersungguh- sungguh untuk menjadi seorang murid yang cemerlang. Bak kata pepatah genggam bara api biar sampai jadi arang. Kejayaan yang diperoleh pasti akan menggembirakan ibu bapa dan guru-guru.
No comments:
Post a Comment