Faedah Mengikuti Kelas Tambahan

        Kelas tambahan bermaksud kelas pengajaran dan pembelajaran yang biasanya diadakan selepas sesi persekolahan. Murid-murid sekolah adalah digalakkan untuk mengikuti kelas tambahan di sekolah. Hal ini demikan kerana kelas tambahan ini memang membawa banyak faedah kepada murid-murid.

        Antara faedah menyertai kelas tambahan ialah dapat meningkatkan pemahaman murid-murid terhadap pelajaran di kelas. Sebagai contohnya, murid-murid yang lemah akan diberikan tumpuan yang lebih banyak semasa kelas tambahan diadakan. Hal ini akan membantu murid tersebut menguasai kemahiran untuk menjawab soalan dengan cara yang betul.

        Selain itu, suasana pembelajaran semasa kelas tambahan adalah lebih bersantai. Hal ini demikian kerana kelas tambahan biasanya diadakan dalam kelompok yang kecil sahaja. Guru dan murid-murid dapat berkomunikasi dengan lebih mudah. Oleh itu, murid-murid akan berasa lebih selesa untuk bertanyakan soalan kepada guru-guru tentang topik yang kurang difahami. 

         Di samping itu, dengan menghadiri kelas tambahan di sekolah, murid-murid dapat meningkatkan pencapaian dalam peperiksaan. Hal ini demikian kerana guru-guru akan memberikan banyak latihan tubi yang boleh meningkatkan keupayaan murid untuk menjawab soalan. Secara tidak langsung, murid-murid akan menjadi lebih yakin untuk menjawab soalan dalam peperiksaan.

         Seterusnya, dengan menyertai kelas tambahan, murid-murid akan mengisi masa lapang dengan aktiviti yang berfaedah. Dengan itu, murid-murid tidak akan terlibat dalam gejala negatif seperti melepak, vandalisme dan menghabiskan masa menonton televisyen. Masa mereka tidak akan dibazirkan dengan begitu sahaja.

        Kesimpulannya, murid-murid sekolah digalakkan mengikuti kelas tambahan yang diadakan di sekolah untuk menjamin masa depan mereka yang cerah. Namun, jumlah kelas yang dihadiri oleh murid ini juga harus dikawal dari segi kualiti dan kuantiti supaya mereka tidak menghabiskan sepanjang masa dengan menghadiri kelas tambahan sahaja. 

 

No comments:

Post a Comment

KATA NAFI

A) Tidak - 用来否定 Frasa Adjektif & Frasa Kerja  例句: 1) Rumahnya tidak besar . (FA)              2) Samad tidak dipilih mewakili sekolah. (...