KATA NAFI



A) Tidak - 用来否定 Frasa Adjektif & Frasa Kerja 

例句: 1) Rumahnya tidak besar. (FA)

             2) Samad tidak dipilih mewakili sekolah. (FK)

             3) Dia ialah wakil sekolah kita yang tidak berjaya dalam pertandingan itu. (FA)

B) Bukan  - 用来否定  Frasa Nama (FN) & Frasa Sendi Nama (FSN)

例句:1) Saya bukan murid Tahun Lima. (FN + FN)

            2) Dia bukan daripada keluarga yang senang. (FN+ FSN) 

            3) Tempat tinggal Leong bukan di bandar. (FN + FSN) 





 





Aku Sebuah Televisyen

        Aku sebuah televisyen yang berjenama SONY. Badan aku berbentuk leper dan diperbuat daripada kaca, plastik, besi, dawai dan wayar. Permukaanku selebar 32 inci dan berwarna hitam.


        Aku dilahirkan di sebuah kilang yang terletak di Miri. Setelah siap diuji dan diproses, aku dimasukkan ke dalam sebuah kotak untuk dihantar ke sebuah kedai alat elektrik di Bandar Ipoh. Setibanya di sana, aku telah dipamerkan di kedai tersebut.  Aku dapat menemui ramai kenalan/kawan yang berlainan jenama di sana.


        Pada suatu hari, seorang lelaki berada yang tampan datang ke kedai untuk membeli televisyen. Dia tertarik dengan  paparan gambar aku yang cerah dan berkualiti. Dia telah membeli aku dengan harga RM 4000. Tuan aku bernama Encik Siaw. Selepas itu, aku dibawa balik ke rumah tuan aku dan diletakkan di ruang tamunya.


        Pada setiap malam, tuan aku dan keluarganya menggunakan aku untuk menonton rancangan televisyen. Aku berkhidmat dengan memberikan maklumat, hiburan, berita dan pengetahuan kepada tuan aku. Anak-anaknya pula suka menggunakan aku untuk menonton rancangan kartun pada setiap hujung minggu.


        Tuan aku menjaga aku dengan baik. Pada setiap minggu, tuan aku akan mengelap habuk pada badan aku dengan sehelai kain yang bersih dan kering. Selain itu, dia juga akan menutup aku apabila tidak digunakan.


        Sekelip mata, aku telah berkhidmat kepada tuan selama 5 tahun. Aku berasa gembira kerana mempunyai seorang tuan yang baik. Aku amat berharap agar aku dapat berkhidmat untuk tuan aku selama-lamanya.

Pengalaman ke Kampung Datuk

Sabtu, 22 Februari 2020.


7.00 pagi

Ayah membawa kami sekeluarga pulang ke kampung datuk yang terletak di Terengganu. Kami ke sana dengan menaiki kereta ayah. Perjalanan ke sana mengambil masa selama dua jam.

 

9.00 pagi

Kami tiba di rumah datuk. Datuk menyambut kedatangan kami dengan tangan terbuka. Kebetulan pada masa itu ialah musim buah-buahan. Datuk membawa kami melawat ke dusunnya yang berdekatan. Datuk juga mengajar kami cara-cara mengait buah rambutan dengan menggunakan galah. Kami tidak melepaskan peluang untuk menolong datuk memetik buah manggis dan langsat

 

12. 00 petang

Kami makan santapan tengah hari yang disediakan oleh nenek. Pelbagai jenis hidangan telah disediakan oleh nenek seperti nasi lemak, ayam goreng dan lain-lain. Kami makan dengan berselera sekali kerana makanan yang disediakan sangat sedap dan menyelerakan.

 

2.00 petang

Selepas makan, datuk membawa kami pergi ke padang untuk menyaksikan pertandingan memangkah gasing. Pertandingan ini akan diadakan pada setiap bulan untuk mengeratkan hubungan antara penduduk. Saya telah belajar teknik memangkah gasing dengan betul.

 

5.00 petang

Datuk membawa saya dan adik memancing ikan di tepi sungai yang berhampiran dengan rumah datuk. Air sungai di sana jernih seperti cermin. Terdapat banyak ikan di dalam sungai. Kami berjaya memancing ikan yang banyak. Kami telah membawa ikan yang dipancing pulang ke rumah datuk untuk dimasak hidangan malam.

 

8.00 malam

Sebelum pulang, datuk telah memberikan kami beberapa jenis buah-buahan sebagai buah tangan. Kami berasa berat hati untuk pulang ke rumah.  Pengalaman ini amat menyeronokkan. Aku berasa sungguh seronok kerana dapat pulang ke kampung dan pergi ke dusun datuk.

Cara-cara Menjadi Murid Cemerlang

        Kecemerlangan dari segi akhlak dan akademik merupakan matlamat semua murid-murid. Namun demikian, kecemerlangan tersebut tidak datang dengan sendirinya. Terdapat beberapa usaha yang perlu dilakukan untuk menjadi murid-murid cemerlang.

        Antaranya, kita perlulah tekun belajar pada setiap hari untuk menjadi seorang murid yang cemerlang. Sebagai contohnya, ketika di dalam kelas, kita perlulah menumpukan sepenuh perhatian dan membuat nota ringkas tentang pengajaran yang disampaikan oleh guru. Dengan ini, kita dapat memahami dan mengingati apa yang dipelajari di dalam kelas.

        Selain itu, kita juga perlu banyak membuat latihan tubi yang berbentuk soalan peperiksaan secara berulang kali. Hal ini akan membolehkan kita menjawab soalan-soalan peperiksaan dengan mudah kerana kita sudah biasa dengan pola-pola soalan tersebut. Kaedah ini juga mampu memberikan keyakinan kepada murid untuk menghadapi peperiksaan sebenar.

        Seterusnya , kita hendaklah  belajar secara berkumpulan dengan rakan-rakan untuk berkongsi maklumat. Hal ini demikian adalah kerana ahli kumpulan akan bertukar-tukar nota dan membolehkan kita mendapat pengetahuan yang lebih meluas. Dengan itu, kita juga tidak akan menjadi seperti katak di bawah tempurung. Sikap ini juga dapat mengelakkan sikap “bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing” dalam kalangan pelajar.

        Di samping itu, kita juga boleh mengikuti kelas tambahan yang dianjurkan oleh pihak sekolah. Hal ini demikian kerana guru-guru akan memberi penekanan pada topic-topik yang sukar semasa kelas tambahan. Justeru, pemahaman kita terhadap sesuatu pelajaran yang sukar difahami akan meningkat.


        Kesimpulannya, kita perlu berusaha dengan bersungguh- sungguh untuk menjadi seorang murid yang cemerlang. Bak kata pepatah genggam bara api biar sampai jadi arang. Kejayaan yang diperoleh pasti akan menggembirakan ibu bapa dan guru-guru. 

Kemalangan di Jalan Raya

        Aku menunggang basikal pulang dari sekolah. Aku mempercepatkan langkah supaya cepat sampai ke rumah. Tiba-tiba , aku terdengar bunyi dentuman yang kuat dari belakangku.

        Aku menoleh ke arah belakang. Rupa-rupanya sebuah kereta terbabas lalu merempuh sebatang tiang lampu di tepi jalan tersebut. Tanpa melengahkan masa, aku berlari sepantas kilat mencari pondok telefon untuk menghubungi pihak polis dan ambulans.

        Aku berasa cemas bagai cacing kepanasan dan berlari ke tempat kejadian. Kelihatan ramai orang ramai telah menggerumi tempat kejadian itu. Pemandu kereta pengsan dan kepalanya berlumuran darah kerana terhantuk pada stereng kereta. Nasib baik, tiada penumpang yang cedera dalam kejadian ini.

        Tidak lama kemudian, pihak polis dan ambulans pun tiba. Anggota penyelamat mengeluarkan mangsa dari kenderaan lalu menghantar mangsa kemalangan ke hospital. Beberapa orang pihak polis pula bertanggungjawab untuk mengawal kesesakan lalu lintas.

        Anggota polis membuat siasatan di tempat kejadian. Aku memberikan maklumat tentang kemalangan itu kepada pihak polis. Pihak polis memuji dan mengucapkan terima kasih atas kerjasama dan tindakan pantas aku. Selepas itu, semua orang pun beredar/ bersurai. Keadaan lalu lintas telah pulih semula. Aku pun pulang ke rumah.

        Aku berasa sangat gembira kerana dapat bertindak pantas semasa waktu kecemasan dan membantu pemandu itu. Malang tidak berbau. Kejadian ini mengingatkan kami bahawa kita perlulah sentiasa berhati-hati semasa menggunakan jalan raya. 

Perkelahan

        Pada minggu yang lepas, saya sekeluarga pergi berkelah di Pantai Port Dickson. Kami pergi ke sana dengan menaiki kereta bapa. Kami membawa pakaian mandi, pelampung serta bekalan makanan dan minuman. Saya berasa gembira kerana ini merupakan julung kali saya berkelah di sana.

        Sebaik sahaja kami tiba di destinasi, kami membantu ibu untuk menurunkan barangan yang dibawa. Kelihatan ramai pengunjung sedang mandi-manda di situ. Kami membentangkan tikar dan meletakkan barang di bawah sebatang pokok yang rendang. Keadaan di pantai sungguh bersih dan telah menggamit ramai pengunjung.

        Kemudian, abang mengajak saya berenang di situ. Tanpa berlengah, kami terus menyalin baju lalu terjun ke dalam laut. Air laut di sana dingin dan nyaman. Kami mandi dengan seronok sekali.

        Ketika kami asyik mandi-manda,  kakak menolong ibu menghidangkan makananAyah dan adik pula membina istana pasir dengan gembira di  tepi pantai. Setelah puas bermandi-manda, kami pun naik ke darat untuk menjamu selera. Makanan yang disediakan sungguh menyelerakan. Kami makan dengan gelojoh kerana perut kami telah berkeroncong.

        Selepas makan, kami bersiar-siar di sepanjang pantai sambil menikmati pemandanganCuaca sungguh baik dan angin bertiup  sepoi-sepoi bahasa. Kami juga telah mengutip kulit siput yang terdapat di tepi pantai sebagai koleksi hiasan.

        Menjelang senja, saya dan abang membantu ibu mengemas barang-barang perkelahan sebelum pulang. Ayah sempat mengambil beberapa keping gambar sebagai kenang-kenangan. Walaupun kami berasa letih, tetapi perkelahan ini sungguh menyeronokkan. Saya berharap akan datang lagi pada cuti yang akan datang jika kelapangan.  


Faedah Mengikuti Kelas Tambahan

        Kelas tambahan bermaksud kelas pengajaran dan pembelajaran yang biasanya diadakan selepas sesi persekolahan. Murid-murid sekolah adalah digalakkan untuk mengikuti kelas tambahan di sekolah. Hal ini demikan kerana kelas tambahan ini memang membawa banyak faedah kepada murid-murid.

        Antara faedah menyertai kelas tambahan ialah dapat meningkatkan pemahaman murid-murid terhadap pelajaran di kelas. Sebagai contohnya, murid-murid yang lemah akan diberikan tumpuan yang lebih banyak semasa kelas tambahan diadakan. Hal ini akan membantu murid tersebut menguasai kemahiran untuk menjawab soalan dengan cara yang betul.

        Selain itu, suasana pembelajaran semasa kelas tambahan adalah lebih bersantai. Hal ini demikian kerana kelas tambahan biasanya diadakan dalam kelompok yang kecil sahaja. Guru dan murid-murid dapat berkomunikasi dengan lebih mudah. Oleh itu, murid-murid akan berasa lebih selesa untuk bertanyakan soalan kepada guru-guru tentang topik yang kurang difahami. 

         Di samping itu, dengan menghadiri kelas tambahan di sekolah, murid-murid dapat meningkatkan pencapaian dalam peperiksaan. Hal ini demikian kerana guru-guru akan memberikan banyak latihan tubi yang boleh meningkatkan keupayaan murid untuk menjawab soalan. Secara tidak langsung, murid-murid akan menjadi lebih yakin untuk menjawab soalan dalam peperiksaan.

         Seterusnya, dengan menyertai kelas tambahan, murid-murid akan mengisi masa lapang dengan aktiviti yang berfaedah. Dengan itu, murid-murid tidak akan terlibat dalam gejala negatif seperti melepak, vandalisme dan menghabiskan masa menonton televisyen. Masa mereka tidak akan dibazirkan dengan begitu sahaja.

        Kesimpulannya, murid-murid sekolah digalakkan mengikuti kelas tambahan yang diadakan di sekolah untuk menjamin masa depan mereka yang cerah. Namun, jumlah kelas yang dihadiri oleh murid ini juga harus dikawal dari segi kualiti dan kuantiti supaya mereka tidak menghabiskan sepanjang masa dengan menghadiri kelas tambahan sahaja. 

 

KATA NAFI

A) Tidak - 用来否定 Frasa Adjektif & Frasa Kerja  例句: 1) Rumahnya tidak besar . (FA)              2) Samad tidak dipilih mewakili sekolah. (...